SEORANG warga emas didenda ribuan ringgit selepas kucing peliharaannya didakwa sering menceroboh kawasan perumahan jiran.
Berdasarkan laporan, wanita berusia 70 tahun dari wilayah Hérault, Perancis itu didenda €1,250 (kira-kira RM6,028) selepas jirannya mengadu bahawa kucing berwarna jingga kerap masuk ke halaman rumah mereka.
Aduan tersebut menyebut tentang kesan tapak kaki kucing pada dinding, air kencing pada selimut serta najis di taman, yang dikatakan berpunca daripada kucing bernama Rémi.
Mahkamah yang bersidang pada Januari lalu memihak kepada jiran terbabit dan memerintahkan pemilik kucing, membayar denda.
Bukan itu sahaja, amaran keras turut diberikan bahawa penalti tambahan akan dikenakan jika Rémi didapati melintasi pagar sekali lagi.
Mengulas tentang keputusan mahkamah, ujar wanita terbabit, dia terkejut dengan denda yang dikenakan dan mula mengurung kucing peliharaan.
"Keputusan itu mengejutkan saya dan sejak itu, Rémi dikurung di dalam rumah sehingga naik berat badan dan jadi agresif.
"Saya tak berani lepaskan Rémi ke taman kerana bimbang ia melompat pagar," katanya.
Kecewa dengan situasi yang berlaku, warga emas terbabit mendakwa, jirannya tidak mempunyai bukti kukuh bahawa kucingnya bersalah.
Ia berikutan kawasan penempatan berkenaan turut mempunyai banyak kucing.
Susulan itu, kes tersebut berlanjutan apabila dia bakal dibicarakan semula pada Disember ini selepas Rémi didakwa kembali melintasi pagar yang sama.
Kali ini, dia berdepan denda tambahan €2,000 (sekitar RM9,645) dan penalti harian €150 (RM723) jika kes berulang.
Kes luar biasa itu menarik perhatian kumpulan pencinta haiwan di Perancis yang berpendapat keputusan mahkamah tersebut tidak adil dan menafikan naluri semula jadi kucing untuk bebas menjelajah. -Agensi


