suria

Penjawat awam maut ditetak lepas kantoi bercinta, berbalas mesej romantis dengan isteri orang

Perasaan cemburu yang tak dikawal boleh mengundang bahaya. -Gambar hiasan AI

SEORANG penjawat awam maut dibunuh oleh jirannya sendiri yang cemburu apabila mendapat tahu mangsa berbalas mesej mesra dengan isterinya melalui aplikasi WhatsApp.

Kejadian berlaku pukul 5.30 pagi Rabu ketika mangsa, 54, mengambil air di takungan berhampiran sawah sebelum suspek, 50, yang menunggang motosikal tiba-tiba menyerangnya dengan parang.

Mangsa sempat melarikan diri dan cuba berlindung di rumah penduduk berhampiran, namun suspek terus mengejarnya.

Suspek dikenali sebagai Warsidam, manakala mangsa dikenali sebagai Riyadi.

Kejadian dilaporkan berlaku di Desa Jarorejo, Daerah Kerek di Indonesia.

“Di halaman rumah penduduk itu, suspek sekali lagi menetak mangsa sehingga meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah,” kata Ketua Bahagian Humas Polis Tuban, Iptu Siswanto.

Selepas kejadian, suspek kembali ke motosikalnya bersama parang dan menyerah diri di Balai Polis Kerek.

Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian selepas berang dan cemburu apabila mengetahui isterinya berhubung secara mesra dengan mangsa melalui WhatsApp. 

Hubungan mereka dipercayai sudah terjalin sejak 2024.

“Motif pembunuhan adalah cemburu kerana mangsa dan isteri suspek dikatakan kerap berbalas mesej berunsur romantik,” jelas Siswanto.-Agensi

 

Artikel Lain