SEORANG lelaki menarik perhatian ramai selepas tampil di media bagi mencari bekas kekasih lamanya untuk membayar wang yang dipinjam lebih dua dekad lalu.
Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Li menghubungi sebuah stesen televisyen yang terkenal dengan program kerana membantu menyelesaikan masalah masyarakat biasa.
Menurut Li, dia dan bekas kekasihnya yang dikenali sebagai Ma mula berkenalan pada 1991 ketika mereka bekerja di syarikat yang sama.
Pada waktu itu, Li berusia 23 tahun manakala Ma berusia 25 tahun dan sudah bercerai serta mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu.
Mereka menjalinkan hubungan cinta selama lapan tahun, namun terpaksa berpisah secara baik apabila bapa Li menghidap kanser dan meminta dia pulang ke kampung untuk menjaga keluarga serta berkahwin dengan wanita pilihan keluarga.
Kejadian dilapor berlaku di wilayah Anhui di timur China.
Selepas berpisah, Li meneruskan kehidupan seperti biasa sehinggalah pada 2001, dia menghadapi masalah kewangan ketika mahu menubuhkan sebuah syarikat kecil.
Ketika itu, Ma membantu tanpa ragu-ragu dan meminjamkannya wang sebanyak 10,000 yuan (RM6,600), satu jumlah yang besar pada masa itu memandangkan purata pendapatan bulanan rakyat China masih rendah.
“Tanpa berfikir panjang, dia terus memindahkan wang itu kepada saya. Jika bukan kerana bantuannya, saya tidak mungkin berjaya menubuhkan syarikat tersebut,” kata Li.
Namun, tidak lama selepas itu, Li kehilangan telefon bimbitnya dan sejak itu dia tidak lagi dapat menghubungi wanita tersebut.
“Saya menyesal selama bertahun-tahun kerana tidak sempat membayar semula wang itu. Saya cuma mahu pulangkan hutangnya,” ujar Li.
Ketika pasukan media menjejaki alamat lama Ma di wilayah Henan, kawasan perumahan setinggan tempat wanita itu tinggal dahulu telah dirobohkan dan digantikan dengan pangsapuri moden.
Pegawai komuniti tempatan memaklumkan bahawa mereka telah menjalankan siasatan awal, namun tidak berjaya mengesan Ma atau keluarganya, dipercayai kerana mereka telah berpindah sejak sekian lama.
Li yang kini sudah berkahwin dengan wanita lain memberitahu bahawa isterinya menyokong penuh usaha mencari Ma, malah tidak cemburu dengan niat tersebut.-Agensi


