SEPASANG suami isteri berdepan detik cemas ketika menginap di sebuah hotel bertaraf empat bintang apabila seorang lelaki separuh bogel berdiri berhampiran katil mereka pada tengah malam.
Menurut laporan, suami yang dikenali sebagai Sun, terjaga selepas isterinya memaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki tidak dikenali di dalam bilik mereka dan dia hanya memakai seluar pendek hitam.
Sun yang terkejut segera menghubungi pihak hotel dan polis, dalam kejadian pada 28 Oktober lalu di China.
Lelaki misteri tersebut hanya berdiri dalam keadaan terpinga-pinga dan tidak menjawab sebarang soalan daripada Sun.
Sun akhirnya memutuskan untuk membiarkan lelaki itu pergi kerana menyangka dia mungkin tersilap masuk bilik.
Sun mengakui bahawa dia juga berasa takut dan bimbang akan kemungkinan niat jahat lelaki itu, namun dia cuba menenangkan isterinya.
Pihak hotel kemudian memaklumkan bahawa pintu bilik pasangan itu rosak, menyebabkan lelaki berkenaan yang sebenarnya tetamu dari bilik sebelah tersalah masuk.
Bagaimanapun, laporan polis mendapati pihak hotel telah tersilap mengeluarkan kad kunci bilik, menyebabkan lelaki itu dapat membuka pintu bilik pasangan berkenaan tanpa disedari.
Pihak pengurusan hotel kemudiannya menawarkan pasangan tersebut untuk berpindah ke bilik lain pada malam sama.
Sun berkata, selepas kejadian itu, isterinya berasa trauma dan sentiasa memastikan pintu dikunci sebelum tidur di bilik baharu mereka.
“Setiap kali sebelum tidur, isteri saya akan bertanya berulang kali sama ada pintu sudah dikunci,” katanya kepada media China.-Agensi


