suria

Budak 3 tahun maut tercekik boba dalam teh susu, keluarga tuntut kedai minuman bertanggungjawab

Tangkap layar memaparkan detik kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun rebah akibat tercekik boba. -Foto Weibo

TRAGEDI menyayat hati melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut akibat tercekik bebola tapioka (boba) dalam teh susu, mencetuskan perdebatan hangat netizen.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 19 Oktober lalu di sebuah pusat beli-belah di wilayah Zhejiang, timur China. 

Pada 24 Oktober, bapa mangsa yang dikenali sebagai Li, memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian berkenaan di laman sosial.

Dalam video tersebut, kanak-kanak itu dilihat minum teh boba yang dibelikan oleh ibunya sebelum bermain di atas trampolin. 

Namun tidak lama kemudian, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Menurut Li, isterinya cuba menyelamatkan anak mereka tetapi gagal.

Mereka segera membawa mangsa ke hospital namun nyawa kanak-kanak itu gagal diselamatkan.

Doktor mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat tercekik boba yang diletakkan dalam minuman tersebut.

Li kemudian menuntut pihak kedai minuman berkenaan dan pengurusan pusat beli-belah bertanggungjawab, dengan mendakwa tiada papan tanda diletakkan untuk memberitahu boba tidak sesuai untuk kanak-kanak.

Kes tersebut kini dalam proses rundingan antara keluarga dan pihak terlibat.

Namun di media sosial, majoriti netizen berpandangan bahawa ibu bapa sepatutnya dipertanggungjawabkan atas tragedi itu kerana tidak mengawasi anak mereka sewajarnya. -Agensi

Artikel Lain