suria

Warga emas ‘pujuk’ isteri guna pistol, ajak kembali bersama lepas mengaku tiduri lebih 50 wanita!

Warga emas ditahan selepas mengugut isteri dengan pistol. -Foto Anusorn Chanpanya

SEORANG lelaki warga emas ditahan polis selepas mengugut isteri menggunakan senjata api kerana wanita itu enggan berbaik semula dengannya. 

Suspek berusia 62 tahun itu turut mengaku pernah menjalinkan hubungan sulit dengan 52 wanita di 52 komuniti berbeza.

Pengakuan itu mendorong Prayong Khammuekchik dan isterinya, Phissamai Khammuekchik, 59, berpisah sejak tiga hingga empat tahun lalu.

Bagaimanapun pasangan dari Thailand yang sudah mempunyai tiga orang anak itu tidak pernah bercerai secara rasmi mengikut undang-undang.

Polis dari Balai Mueang Udon Thani di Thailand menerima laporan mengenai seorang lelaki mabuk yang mengancam isterinya di rumah di kawasan Nong Na Kham.

Menurut Phissamai, suaminya datang dalam keadaan mabuk sambil mengacukan pistol dan memaksa untuk berbaik semula.

Sebelum ini, dia pernah memberi tempoh percubaan tiga bulan dengan syarat tertentu termasuk tidak memasak atau membasuh pakaian, namun lelaki itu hanya bertahan tiga hari sebelum kembali ke tabiat lama, termasuk mengugut mahu membakar rumah.

Phissamai bersetuju untuk bercerai dengan syarat dua rumah tempat dia dan anak-anak tinggal kekal miliknya, manakala Prayong boleh memiliki dua rumah di Kampung Nong Sai.

Ketika ditahan, Prayong mengaku mengambil minuman keras di pesta kuil selain berterus terang tentang hubungan sulitnya.

“Kalau ada 100 komuniti, mungkin saya ada 100 teman wanita. Tapi semua hubungan itu dah lama saya tamatkan,” katanya.

Dia mendakwa hanya mengacukan senjata untuk menakutkan isterinya tanpa niat mencederakan.

Polis menahan Prayong atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam dalam keadaan mabuk serta merampas senjata api untuk siasatan lanjut.

Sebelum dibawa ke balai, lelaki itu sempat mengucapkan terima kasih kepada isterinya kerana menghubungi polis untuk menangkapnya. -Agensi

Artikel Lain