suria

Selisih faham isu air mandian, mekanik maut ditikam 2 rakan sekerja

Kebanyakan kes bunuh berpunca daripada perselisihan faham. -Gambar hiasan

PERTENGKARAN kecil mengenai air mandian bertukar tragis apabila seorang mekanik maut selepas ditikam oleh rakan sekerjanya.

Dalam kejadian yang berlaku di Air Sugihan, Sumatera Selatan, pada petang Khamis lalu, mangsa yang berusia 28 tahun, disahkan meninggal dunia selepas ditikam di bahagian dada oleh dua suspek yang juga rakan sekerjanya. 

Ketua Polis Air Sugihan, Inspektor Pertama Belky Framulia, berkata kejadian bermula apabila mangsa ingin mandi menggunakan air dalam tong dram selepas bermain bola sepak.

"Melihat tindakan itu, seorang suspek yang berusia 23 tahun menegur mangsa. Namun, teguran itu bertukar menjadi pertengkaran mulut sebelum berlaku pergelutan," katanya.

Tidak lama kemudian, suspek kedua yang berusia 19 tahun pula muncul dan dia turut menyerang mangsa.

Mangsa ditikam dengan senjata tajam di bahagian dada, menyebabkannya rebah dalam keadaan berlumuran darah, menurut Belky.

"Rakan sekerja lain sempat membawa mangsa ke klinik tetapi nyawanya tidak dapat diselamatkan. Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," jelasnya lagi. 

Selepas kejadian, kedua-dua suspek melarikan diri namun polis berjaya menahan mereka di sebuah pondok penduduk berhampiran pada malam hari yang sama.

Polis turut merampas barang bukti termasuk sehelai baju hitam milik mangsa yang koyak di bahagian dada. 

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan senjata tajam yang digunakan," katanya lagi.

Kedua-dua suspek kini ditahan di Balai Polis Air Sugihan dan disiasat di bawah Pasal 170 Ayat (2) Butiran 3 Kanun Jenayah Indonesia, iaitu serangan bersama yang mengakibatkan kematian. -Agensi

 

Artikel Lain