SEORANG wanita muda berusia 22 tahun berdepan detik cemas apabila cuba dicabul lelaki tidak dikenali ketika sedang menunaikan solat di sebuah masjid, pada Jumaat.
Kejadian tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) masjid yang terletak di daerah Bumi Waras, Lampung, Indonesia.
Dalam rakaman yang kini tular di media sosial, kelihatan mangsa sedang solat bersendirian di dalam ruangan muslimah masjid berkenaan.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki tidak berbaju dan hanya memakai seluar pendek masuk ke dalam masjid.
Suspek yang menutup wajahnya seperti ninja itu dilihat menghampiri mangsa secara senyap-senyap sebelum bertindak mencabul ketika mangsa sedang sujud.
Lebih mengejutkan, suspek turut memukul mangsa apabila wanita itu cuba melawan.
Insiden tersebut hanya berakhir apabila seorang wanita lain masuk ke masjid, menyebabkan suspek panik dan melarikan diri.
Ketua Polis Teluk Betung Selatan, AKP Galih Ramadhan Hariomursid, mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa suspek telah berjaya ditangkap tidak lama selepas laporan dibuat.
"Mangsa telah membuat laporan dan kami segera mengambil tindakan. Syukurlah, pelaku telah ditahan," katanya pada Sabtu.
Suspek berusia 23 tahun itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Teluk Betung Selatan bagi membantu siasatan lanjut. -Agensi


