SEORANG murid perempuan berusia sembilan tahun dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjun dari tingkat empat sebuah sekolah swasta, pada petang Sabtu.
Menurut pihak polis, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan murid berkenaan memanjat pagar sebelum terjun dari bangunan Sekolah Neerja Modi yang terletak di Jaipur, India.
Dalam rakaman sama, pelajar-pelajar lain dilihat berjalan seperti biasa di kawasan itu.
Difahamkan, mangsa yang terjatuh dari ketinggian kira-kira 47 kaki (14 meter) segera dikejarkan ke hospital berdekatan namun disahkan meninggal dunia doktor.
Apa yang menimbulkan tanda tanya, pihak sekolah bertindak membersihkan lokasi tempat mangsa terjatuh sebelum ketibaan pihak polis.
Justeru, ibu bapa mangsa membuat laporan polis terhadap pihak pentadbiran sekolah, mendakwa kematian anak mereka berlaku dalam keadaan mencurigakan.
Mereka turut menuntut siasatan menyeluruh terhadap peranan guru dan kakitangan sekolah, mempersoalkan bagaimana kejadian seumpama itu boleh berlaku di dalam kawasan sekolah yang sepatutnya selamat.
Polis dalam kenyataannya memaklumkan punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -Agensi


