suria

Berang sambungan internet dimatikan, lelaki tetak rakan hingga maut

Perasaan marah tanpa pertimbangan waras sering menjadi punca utama di sebalik kebanyakan kes jenayah. -Gambar hiasan

SEORANG lelaki maut di tangan sahabatnya sendiri hanya kerana pertelingkahan kecil berkaitan sambungan internet.

Dalam kejadian yang berlaku di Siak, Riau, sekitar pukul 3.00 pagi pada 26 Oktober lalu, mangsa yang dikenali sebagai Novrianto maut akibat cedera parah selepas ditetak dengan parang.

Menurut Ketua Polis Daerah (Kapolres) Siak, AKBP Eka Ariandy Putra, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku selepas suspek berang kerana mangsa enggan berkongsi sambungan internet (hotspot) dengannya.

"Kejadian berlaku pada 26 Oktober kira-kira pukul 3 pagi. Suspek sebelum itu menarik isterinya yang sedang tidur dan membawanya ke ruang tamu.

"Di situ, dia memaksa wanita berkenaan untuk 'melayani' mangsa," katanya.

Jelas beliau, isteri suspek cuba melawan tetapi tidak berjaya. 

Selepas insiden itu, suspek dan mangsa dikatakan minum tuak bersama-sama sebelum berlaku pertelingkahan kecil kerana mangsa mematikan sambungan hotspot.

"Suspek berasa marah kerana sebelum itu dia sudah membenarkan mangsa berhubungan dengan isterinya, lalu bertindak membunuh mangsa," kata Eka.

Ujarnya, suspek menetak mangsa hingga maut, sebelum menggali tanah dan menanam mayat rakannya itu di hadapan rumahnya sendiri.

Suspek kemudian melarikan diri namun berjaya ditahan tidak lama kemudian oleh polis.

"Pelaku kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 340 Kanun Keseksaan Indonesia (pembunuhan dirancang), dan boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 20 tahun," jelas Eka. -Agensi

 

Artikel Lain