suria

Lelaki tikam mati isteri depan anak, berang tak jumpa lesung batu

Pertengkaran yang berpunca daripada lesung batu berakhir dengan tragedi. -Foto Thaiger

SEORANG lelaki warga Myanmar bertindak menikam isterinya hingga mati di depan tiga anak mereka selepas bertengkar mengenai lesung batu yang hilang.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah sewa dua tingkat di daerah Bang Khae, Bangkok, Thailand, pada Khamis.

Menurut jurucakap polis, pihak berkuasa bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan.

Setibanya di tempat kejadian, pihak berkuasa menemui mayat mangsa yang dikenali sebagai Naw Nu Wa, 35, terbaring di atas katil di ruang bawah rumah dengan kesan tikaman di leher.

Polis turut menemui pisau dapur sepanjang 20 sentimeter dan beberapa peralatan memasak yang berselerakan di lantai berhampiran, yang kemudian dikumpul sebagai bahan bukti.

Suspek berusia 30 tahun berjaya ditahan tidak lama kemudian. 

Menurut polis, lelaki itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk semasa kejadian dan mengaku menikam isterinya selepas pertengkaran tercetus berhubung kehilangan lesung batu di dapur.

"Suspek mengakui dia hilang sabar apabila tidak menjumpai lesung batu yang dicari, lalu menikam isterinya dalam keadaan marah," kata jurucakap polis berkenaan.

Suspek kini berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 288 Kanun Jenayah Thailand kerana membunuh dengan niat. 

Sementara itu mayat mangsa dibawa ke Hospital Siriraj untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian. -Agensi

Artikel Lain