SEBUAH klinik swasta diarahkan ditutup sementara, susulan dakwaan seorang doktor menuang air panas ke atas kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dirawat kerana mengalami sawan.
Tindakan itu bagi membolehkan siasatan rapi dilakukan ke atas doktor terbabit.
Kejadian dilaporkan berlaku di Chon Buri, Thailand.
Arahan penutupan sementara dibuat oleh Majlis Perubatan Thailand susulan pendedahan ibu bapa mangsa yang memaklumkan keadaan anak mereka mengalami lecur teruk di badan.
Menurut keluarga warga Laos terbabit, datuk mangsa membawa cucunya ke klinik berkenaan pada 24 Oktober lalu kerana demam panas.
Seorang pembantu perubatan kemudiannya memberi suntikan, namun kanak-kanak itu mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.
Situasi itu membuatkan doktor dipanggil untuk memeriksa keadaan mangsa.
Dia kemudian mengarahkan pembantunya menutup badan kanak-kanak itu dengan tuala sebelum menuang air panas sebanyak dua kali.
Tindakan ketiganya bagaimanapun dihalang oleh nenek mangsa.
Mangsa didapati sedar semula selepas itu tetapi menangis kesakitan dengan keadaan lecur teruk di dada, perut dan bahagian belakang bahu.
Susulan itu, Majlis Perubatan Thailand pada 30 Oktober mengumumkan bahawa klinik itu diarahkan ditutup dari 30 Oktober hingga 13 November bagi memberi ruang kepada siasatan lanjut.
Kanak-kanak terbabit kini mengalami lecur tahap ketiga dan masih belum boleh menjalani pembedahan.
Luka yang dialaminya sedang dirawat sehingga pulih sepenuhnya sebelum rawatan parut dijalankan. -Agensi


