SEBUAH gimnasium menarik perhatian ramai apabila melancarkan cabaran menurunkan berat badan ekstrem dengan menawarkan hadiah sebuah kereta mewah Porsche kepada peserta yang berjaya menurunkan 50 kilogram (kg) dalam masa tiga bulan.
Cabaran yang diumumkan pada 23 Oktober lalu itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan mengenai risiko selepas berat badan turun secara mendadak.
Berdasarkan iklan, hadiah utama berupa Porsche bernilai kira-kira RM725,000 ditawarkan kepada peserta yang mencapai sasaran tersebut.
Namun jurulatih yang dikenali sebagai Wang menjelaskan bahawa kereta itu adalah milik pemilik gim dan merupakan model 2020 yang telah digunakan dan bukan kereta baharu.
Gim tersebut terletak di Binzhou, wilayah Shandong di utara China.
Peserta yang ingin menyertai cabaran perlu membayar yuran penyertaan sebanyak 10,000 yuan (RM6,600), meliputi makanan dan penginapan di pusat latihan tertutup dengan bilik yang dikongsi.
Bagaimanapun, perincian mengenai jadual latihan, pelan diet dan kriteria penilaian tidak didedahkan.
Pakar kesihatan memberi amaran bahawa menurunkan berat sebanyak 0.5kg sehari adalah terlalu cepat dan berbahaya.
Seorang pakar perubatan popular di Weibo, Dr Zeng menjelaskan bahawa kadar tersebut boleh menyebabkan kehilangan otot, gangguan hormon, keguguran rambut serta masalah kesihatan serius lain.
Sementara itu, pakar bedah gastrousus di Hospital Rakyat Wilayah Shaanxi, Dr Pu Yansong berkata penurunan berat badan yang terlalu cepat boleh membebankan organ dan mengancam nyawa, justeru proses itu sepatutnya dilakukan secara berperingkat.
Cabaran ekstrem itu menimbulkan perdebatan hangat di media sosial China dengan ramai pengguna menyifatkannya sebagai taktik pemasaran berisiko tinggi yang lebih menguntungkan penganjur berbanding peserta.-Agensi


