SEORANG penghantar makanan maut selepas dipercayai dikejar dan motosikalnya dihimpit oleh sepasang suami isteri yang memandu sebuah kereta, dalam kejadian pada Sabtu.
Kejadian dipercayai berpunca apabila berlaku pergeseran kecil antara skuter yang ditunggang mangsa berusia 24 tahun dengan kereta pasangan berkenaan.
Insiden itu mencetuskan kemarahan pasangan tersebut yang kemudiannya berpatah balik dan mengejar mangsa.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular [Tonton Video] menunjukkan pasangan tersebut sengaja merempuh skuter penghantar makanan sehingga dia terjatuh sebelum kenderaan mereka menggilis mangsa.
Selepas kejadian, mereka dilihat kembali ke lokasi untuk mengambil serpihan kenderaan sebelum melarikan diri.
Kejadian berlaku di kawasan Nataraja Layout, Bengaluru di India dengan mangsa dikenali sebagai Darshan.
Suspek utama, Manoj Kumar, 32, adalah seorang jurulatih seni mempertahankan diri dari Kerala dan isterinya Aarati Sharma, 30 dari Kashmir, kini telah ditahan polis dan direman selama 14 hari.
Menurut laporan polis, orang awam yang berada berhampiran segera membawa mangsa ke hospital, namun Darshan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Keluarga mangsa menuntut keadilan dan hukuman berat terhadap pasangan terbabit.-Agensi


