SEORANG lelaki nekad merobohkan rumah yang dibinanya sendiri selepas berang dengan isterinya yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.
Video yang dirakam di Kecamatan Sukodono, Sragen, Jawa itu memaparkan sebuah jentera pengorek (backhoe) sedang merobohkan sebuah rumah, menjadi tular di laman sosial.
Lelaki yang dikenali sebagai Warseno, 36, berkata rumah itu telah didiami bersama isteri dan anak-anaknya selama lebih 18 tahun dan dibina menggunakan gabungan wang simpanannya serta bantuan daripada ayahnya.
Warseno menjelaskan dia mengambil keputusan untuk merobohkan rumah itu pada 21 Oktober lalu, lima hari selepas mengetahui kecurangan isterinya.
"Itu keputusan saya sendiri. Saya rasa sakit hati dan kecewa, jadi saya robohkan rumah itu," ujarnya.
Katanya, rumah berkenaan menelan kos sekitar Rp170 juta (lebih RM50,000) untuk dibina.
Walaupun insiden itu menarik perhatian ramai di media sosial, Warseno memaklumkan bahawa dia kini sudah berdamai dengan isterinya, namun memilih untuk berpisah secara baik.
Dia kini menetap di rumah orang tuanya yang terletak dalam kawasan kejiranan sama dengan bekas isterinya. -Agensi


