SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mengalami kecederaan parah selepas dipijak seekor gajah liar, pada Khamis.
Kejadian berlaku apabila sekumpulan gajah liar memasuki kawasan penempatan di pinggir Pekanbaru, ibu kota Wilayah Riau, Indonesia, yang sebelum ini dilaporkan sering menjadi laluan haiwan tersebut.
Menurut laporan, tiga ekor gajah muncul di hadapan rumah keluarga mangsa sebelum insiden tragis itu berlaku.
"Seekor daripada gajah itu sangat agresif. Kami cuba melarikan diri ke ladang jagung, tetapi ia terus mengejar kami," kata bapa mangsa kepada akhbar Jakarta Globe.
Dalam kejadian itu, anak perempuannya yang dikenali sebagai Citra telah dipijak gajah tersebut, menyebabkan kecederaan serius di bahagian kepala serta beberapa tulang patah.
Mangsa segera dikejarkan ke hospital di Pekanbaru dan telah menjalani pembedahan kecemasan.
Menurut laporan media, Citra kini berada dalam keadaan koma.
Pihak Balai Besar Konservasi Sumber Daya Alam (BBKSDA) Riau memaklumkan bahawa kumpulan gajah berkenaan berkemungkinan datang dari kawasan perlindungan berhampiran dan sedang mengikuti laluan migrasi lama yang melalui kawasan kampung dan ladang.
Agensi berkenaan telah menghantar pasukan untuk memantau pergerakan kumpulan gajah itu serta menghalau mereka kembali ke dalam hutan. -Agensi


