suria

Remaja perempuan, 4 rakan ditahan terlibat rancang kes pembunuhan ibu

Perintah tahanan reman dikenakan terhadap suspek bagi membantu siasatan. -Gambar hiasan

SEORANG remaja perempuan berusia 17 tahun bersama beberapa rakan lelakinya didakwa membunuh ibu kandungnya sebelum merancang agar kejadian itu kelihatan seperti kes bunuh diri bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Menurut polis, dalam kejadian yang berlaku pada 25 Oktober lalu, mayat wanita dikenali sebagai Netravathi, 35, ditemukan tergantung pada kipas siling di rumahnya di Uttarahalli, Bengaluru. 

Anak perempuan Netravathi dilaporkan hilang dari rumah selepas penemuan mayat wanita itu, menyebabkan ahli keluarganya berasa curiga lalu membuat laporan di Balai Polis Subramanyapura. 

Hasil siasatan mendapati wanita tersebut sebelum ini pernah melarang anak perempuannya menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki, dan perkara tersebut dipercayai menjadi punca kepada pembunuhannya.  

"Remaja perempuan itu sendiri terlibat dalam pembunuhan berkenaan, yang dirancang oleh teman lelakinya selepas mereka ditangkap bersama di rumah pada hari kejadian," kata pegawai penyiasat. 

Menurutnya, remaja tersebut bersama teman lelaki serta beberapa rakannya bertindak menjerut leher mangsa menggunakan tuala hingga mati.

Mereka kemudian menggantung mayat mangsa pada kipas siling menggunakan kain sari bagi memperdaya pihak berkuasa kononnya ia kes bunuh diri, sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Polis kini telah menahan lima remaja bawah umur termasuk remaja berkenaan dan empat rakan lelakinya bagi membantu siasatan. -Agensi

 

Artikel Lain