suria

Gagal bunuh guna aiskrim beracun demi harta, lelaki tikam abang ipar... 2 anak saudara kembar turut dibunuh

Suspek ditahan selepas polis menyedari keraguan pada kesan tikaman di badan mangsa. -Foto Jam Press

SEORANG lelaki dituduh membunuh tiga ahli keluarganya susulan pertikaian berterusan mengenai harta.

Lebih menyayat hati apabila suspek didakwa cuba meracun mangsa menggunakan aiskrim pada tahun lepas, namun tindakan itu gagal.

Kejadian dilaporkan berlaku di kediaman mangsa di kawasan La Reina, ibu negara Santiago, Chile pada 18 Oktober lalu.

Berdasarkan laporan, suspek, Jorge Ugalde Parraguez, 59, didakwa menikam abang iparnya, Eduardo Cruz-Coke, 62, hingga mati.

Dua anak kembar lelaki mangsa yang berusia 17 tahun dan berstatus orang kurang upaya (OKU), turut dibunuh.

Namun pada masa kejadian, suspek yang tinggal di kediaman sama, menjadi individu pertama melaporkan insiden berkenaan.

Susulan itu, siasatan polis pada asalnya mengesyaki mangsa membunuh dua anaknya sebelum membunuh diri sendiri. 

Menurut jurucakap polis, selepas dua hari siasatan, pihaknya baru menyedari luka pada mangsa bukan disebabkan tindakan sendiri, sebaliknya dilakukan oleh pihak ketiga.

Malah senjata yang digunakan tidak ditemui di sekitar lokasi berhampiran dan polis turut menyiasat kemungkinan mangsa kembar diberi bahan tertentu yang menyebabkan mereka tidak mampu melawan sebelum dicekik hingga mati.

Suspek kemudiannya ditahan pada 3 November lalu bagi membantu siasatan.

Polis juga menjalankan siasatan ke atas isteri suspek yang merupakan adik mangsa kerana dipercayai terlibat dalam cubaan membunuh pada tahun 2024 menggunakan aiskrim beracun.

Berdasarkan laporan media tempatan, mangsa pernah dimasukkan ke hospital selepas makan aiskrim yang dibawa oleh pasangan tersebut. -Agensi

Artikel Lain