suria

Rezeki orang dizalimi... Nenek 70 tahun tak sangka raih untung hampir RM300,000 lepas ikut arahan scammer beli emas

Mangsa (kanan) menuruti segala arahan sindiket sebelum akhirnya berasa curiga dan membuat laporan polis.

SEORANG wanita warga emas mengalami kerugian puluhan ribu ringgit selepas menjadi mangsa sindiket penipuan panggilan palsu (call centre scam).

Kejadian dilaporkan berlaku di Thailand.

Meskipun rugi lebih 410,000 baht (RM52,800), namun wanita berusia 70 tahun itu bernasib baik apabila tanpa disedari dia mengaut keuntungan besar daripada sindiket terbabit.

Menurut laporan media tempatan, mangsa pada awalnya diperdaya sindiket yang mendakwa akaun banknya terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan akan dibekukan. 

Dia yang cemas dengan situasi tersebut melakukan transaksi pemindahan wang berjumlah lebih 410,000 baht ke akaun di Hong Kong seperti diarahkan.

Susulan pembekuan akaun, dia kemudiannya membeli jongkong emas menggunakan baki simpanan yang ada, kononnya sebagai langkah ‘selamat’ seperti dinasihati sindiket terbabit.

Pembelian tersebut dilakukan secara berperingkat menggunakan simpanannya bernilai lebih 14 juta baht (RM1.8 juta). 

Meskipun menurut segala arahan yang diberikan, namun perasaan curiga mendorongnya membuat laporan polis pada 17 Oktober lalu.

Pihak berkuasa kemudiannya bertindak pantas dengan merancang operasi menangkap suspek. 

Sebagaimana dirancang, sehari kemudian wanita itu diarahkan untuk meletakkan jongkong emas ke dalam tin susu tepung dan membawanya ke lokasi pertemuan dengan sindiket terbabit.

Polis yang menyamar sebagai penghantar barang dan penunggang teksi motosikal menunggu di lokasi berkenaan sebelum menahan seorang lelaki warga Hong Kong yang datang menghampiri mangsa.

Hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai berperanan sebagai pengutip aset untuk sindiket dan tinggal di Thailand melebihi tempoh visa pelancong yang sah.

Selepas kes itu diselesaikan, wanita berkenaan menjual semua jongkong emas yang dibelinya dengan nilai 16.7 juta baht (RM2.1 juta). 

Ketika itu, harga emas dunia sedang melonjak kira-kira 15 peratus dalam tempoh beberapa minggu menjadikan 'nilai pelaburan' 14 juta baht meningkat kepada 16.7 juta baht.

Ia sekali gus memberi keuntungan keseluruhan 2.7 juta baht (RM345,000) kepadanya.

Malah, walaupun ditolak kerugian awal akibat scam, wanita itu tetap meraih keuntungan bersih kira-kira 2.3 juta baht (RM295,000). -Agensi

Artikel Lain