suria

Cikgu pujuk murid 8 tahun masuk kelas sebelum tikam wajah dan leher! Mahkamah arah penjara seumur hidup

Tertuduh turut menikam lehernya sendiri selepas kejadian tersebut.

SEORANG guru sekolah rendah di Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas menikam mati murid perempuan berusia lapan tahun di bandar Daejeon, Korea Selatan, Februari lalu.

Tertuduh, Myeong Jae-wan, 48, dikatakan memujuk mangsa masuk ke dalam bilik darjah sebelum bertindak menikam wajah dan leher kanak-kanak itu menggunakan pisau.

Petugas perubatan yang tiba di lokasi mendapati mangsa mengalami serangan jantung dan cuba menyelamatkannya.

Namun kanak-kanak itu tidak sedarkan diri dan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Jae-wan turut ditemui dengan kecederaan tikaman pada leher dan lengan, dipercayai dilakukannya sendiri.

Dia kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan.

Siasatan mendapati guru itu pernah mengambil cuti sakit akibat kemurungan dan hanya kembali bertugas di sekolah pada hujung tahun lalu.

Ketika kejadian, mangsa dipercayai berada di sekolah untuk mengikuti kelas penjagaan selepas waktu persekolahan sementara menunggu ke kelas seni swasta.

Menurut laporan mahkamah, Jae-wan membawa pisau ke sekolah dengan niat membunuh diri dan menyerang seorang murid secara rawak.

Selain hukuman penjara seumur hidup, mahkamah turut mengarahkan tertuduh memakai alat penjejak elektronik selama 30 tahun.

"Sebagai guru sekolah rendah, tertuduh sepatutnya melindungi murid, bukannya menjadi punca kehilangan nyawa di tempat yang seharusnya paling selamat," kata hakim dalam penghakimannya. -Agensi

Artikel Lain