SEORANG lelaki ditahan polis selepas disyaki mencuri emas dan motosikal milik wanita yang dikenalinya menerusi permainan atas talian Mobile Legends.
Kejadian dilaporkan berlaku di Ceurih Kupula, Aceh di Indonesia pada 17 Oktober lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Daerah Pidie, AKP Dedy Miswar berkata, suspek berusia 26 tahun berkenalan dengan mangsa sejak Februari lepas.
"Hubungan yang rapat membuatkan suspek mengambil keputusan untuk terbang ke Aceh bagi berjumpa keluarga mangsa," katanya pada Selasa.
Menurut Dedy, suspek dijemput mangsa selepas tiba di Terminal Sigli pada 6 Oktober lalu dan kemudiannya menyewa sebuah bilik di kawasan Pante Tengah, Sigli.
"Suspek berkunjung ke rumah keluarga mangsa di Desa Ceurih Kupula, empat hari kemudian.
"Ketika berkunjung pada petang Jumaat, suspek dikatakan meminta izin untuk menunaikan solat Maghrib di dalam bilik mangsa.
"Ketika itulah suspek ternampak laci yang tidak berkunci dan mengambil barang kemas milik mangsa seberat enam mayam (19.98 gram)," jelas Dedy.
Selain itu, suspek turut meminjam motosikal mangsa dengan alasan mahu keluar sebentar dan berjanji akan memulangkannya pada keesokan hari.
Namun, suspek tidak kembali seperti yang dijanjikan.
Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Pidie dan siasatan segera dijalankan.
Hasil operasi bersama Unit Siasatan Jenayah Pidie dan Aceh Utara berjaya menahan suspek di Jalan Medan–Banda Aceh, pada 19 Oktober lalu.
"Suspek mengaku mencuri emas dan melarikan motosikal milik mangsa. Emas itu juga telah dijual di sebuah kedai emas di Pasar Beureunuen, Pidie," katanya lagi.
Suspek kini ditahan bersama beberapa barang bukti dan disiasat sama ada terlibat dalam jenayah lain atau tidak. -Agensi


