TINDAKAN seorang wanita berpura-pura hamil akhirnya terbongkar selepas ‘bayi’ yang dikatakan dilahirkannya rupa-rupanya hanyalah anak patung.
Kira Cousins dari Airdrie, Scotland, didakwa memakai perut palsu sebelum berpura-pura melahirkan bayi yang diberi nama Bonnie-Leigh Joyce.
Wanita berusia 22 tahun itu sebelum ini mengumumkan ‘kelahiran’ anak perempuannya di media sosial pada awal bulan Oktober.
Bagaimanapun, penipuan Kira terbongkar apabila ibunya menemui anak patung itu di dalam bilik tidurnya.
Selepas kes itu tular, Kira dihubungi oleh portal Daily Record, namun dia enggan memberi sebarang komen.
Rakan Kira, Neave McRobert, berkata mereka mula curiga apabila menyedari ‘bayi’ tersebut tidak pernah menangis dan Kira enggan membenarkan sesiapa menyentuhnya.
Anak patung jenis Reborn seperti yang digunakan Kira boleh dibeli dengan harga antara £30 (RM180) hingga £2,000 (RM12,000).
ARTIKEL BERKAITAN: Risau dipecat sebab anak ramai, pasangan guru tanam bayi hidup-hidup di bawah batu
Seorang lagi kenalan keluarga Kira yang enggan dikenali turut meluahkan rasa terkejut dengan pendedahan itu, namun mengakui dia sudah lama mengesyaki kehamilan tersebut adalah palsu.
Menggelarkan Kira sebagai 'penipu bersiri', individu itu berkata wanita tersebut sememangnya terkenal dengan sikap tidak jujur.
“Saya mengenalinya selama 10 tahun dan dia memang suka menipu tentang pelbagai perkara. Saya terus perasan perutnya palsu. Ia kelihatan berbonjol-bonjol.
“Dia memakai pakaian nipis dan kami nampak tali di belakang yang memegang perut palsu itu,” katanya pula. -Agensi


