suria

Mentua tak dapat kebenaran halau menantu keluar rumah, mahkamah arah bahagi sama rata... Mak tingkat atas, anak tinggal di bawah

Hakim membuat keputusan wanita dibenar tinggal di rumah mentua. -Gambar hiasan

MAHKAMAH memutuskan bahawa seorang isteri berhak untuk terus tinggal di rumah mentua walaupun suaminya disisih oleh ibu bapa.

Ini kerana kediaman tersebut dianggap sebagai rumah perkongsian yang sah di sisi undang-undang.

Keputusan itu dibuat Hakim Sanjeev Narula di Mahkamah Tinggi Delhi di India pada 16 Oktober ketika menolak permohonan yang difailkan ibu mentua wanita berkenaan yang mahu mengusir menantu mereka daripada hartanah tersebut.

Menurut hakim, wanita yang tinggal di rumah bersama suaminya selepas berkahwin berhak dianggap menetap di rumah perkongsian, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perlindungan Wanita daripada Keganasan Rumah Tangga. 

Justeru, beliau menegaskan bahawa wanita tersebut tidak boleh disingkirkan kecuali melalui proses undang-undang yang sah.

Kes ini timbul susulan perkahwinan wanita itu dengan anak pemohon pada 2010, diikuti dengan perpindahan mereka ke rumah keluarga suaminya. 

Namun, rumah tangga pasangan tersebut mula bermasalah pada tahun berikutnya, menyebabkan berlakunya pelbagai tindakan sivil dan jenayah antara kedua-dua pihak.

Ibu mentua wanita terbabit berhujah bahawa rumah berkenaan adalah harta milik mutlak mendiang suaminya, Daljit Singh, dan tidak boleh diklasifikasikan sebagai rumah perkongsian.

Bagaimanapun, mahkamah menolak hujah itu dan menyifatkan pengaturan semasa di mana ibu mentua menetap di tingkat atas manakala menantu di tingkat bawah sebagai satu penyelesaian yang adil dan seimbang bagi menjaga kepentingan kedua-dua pihak.

Wanita berkenaan diwakili oleh peguam Samvedna Verma, manakala pihak pemohon diwakili peguam Kajal Chandra. -Agensi

Artikel Lain