SEORANG wanita menarik perhatian ramai selepas berkongsi cabaran membesarkan enam orang anak lelaki dengan perbelanjaan mencecah ribuan ringgit sebulan.
Wanita yang dikenali sebagai Monko, 34 tahun itu mula menjadi tumpuan selepas tampil dalam rancangan Mum’s Secret Garden terbitan ABEMA.
Dia yang berasal dari wilayah Chiba, Jepun mengakui membelanjakan 700,000 yen (kira-kira RM22,000) sebulan.
Bukan sahaja dipuji kerana wajahnya yang cantik, Monko juga dikenali kerana kekuatan dan ketabahannya sebagai ibu kepada enam anak.
Berdasarkan laporan, Monko melahirkan anak sulung yang dikenali sebagai Ryuki, pada usia 16 tahun.
Dia kemudian berhenti sekolah untuk menjaga anaknya.
Setelah berkahwin, dia mempunyai dua lagi anak.
Namun malangnya, dia berpisah dengan suaminya sebelum berkahwin semula dengan Yosuke Mitsutsuka, yang turut membantu membesarkan kesemua anaknya.
Anak-anaknya menjadi tular kerana dikatakan mewarisi ketampanan seperti selebriti Jepun.
Malah, netizen berseloroh bahawa enam beradik itu boleh menubuhkan kumpulan idol sendiri.
Mengulas mengenai kos kehidupan bulanannya, Monko mengakui hampir sepertiga daripada perbelanjaannya dihabiskan untuk makanan.
Malah, perbelanjaan di pasar raya melibatkan lebih 110 barangan seperti lima kilogram daging, berdozen pisang serta enam bakul sayur dan beras.
Walaupun mengakui tugas membesarkan enam anak amat mencabar, Monko menegaskan kebahagiaan mereka lebih penting daripada dirinya sendiri.
Dalam nada berseloroh, dia menyatakan tidak kisah jika dikurniakan anak ketujuh.
Kisahnya mencetuskan perbincangan hangat dalam talian dengan ada yang memuji semangatnya sebagai 'supermom'.
Tidak kurang juga yang meluahkan kebimbangan sama ada dia mampu memberi perhatian sama rata kepada semua anak atau sebaliknya. -Agensi


