SEORANG wanita dan anaknya ditahan pada Rabu susulan kes seorang pelajar perempuan yang ditikam di kawasan sekolah.
Kejadian berlaku di Sekolah Rendah dan Menengah Gompers, Detroit, Amerika Syarikat pada 8 Oktober 2025.
Menurut Jabatan Pendidikan Daerah, seorang murid menikam rakan sekelasnya menggunakan sebilah pisau kecil yang diperoleh daripada ibunya sendiri.
“Penggera pengesan logam berbunyi ketika ibu pelaku memasuki sekolah namun pengawal keselamatan gagal memeriksa wanita itu.
“Pengawal keselamatan terbabit sudah digantung tugas sementara menunggu siasatan dan mungkin akan dipecat,” menurut kenyataan jabatan berkenaan.
Dalam satu hantaran di media sosial, ibu mangsa berkata anak perempuannya ditikam di kepala, belakang dan lengan, selain turut mengalami luka dari leher hingga ke telinga.
Ibu mangsa memberitahu saluran Local 4 bahawa kejadian itu berlaku susulan pertengkaran antara dua murid berkenaan.
Dia turut memaklumkan anaknya kini dibenarkan keluar dari hospital namun masih memerlukan masa panjang untuk pulih sepenuhnya. — Click on Detroit.


