suria

Kasih abang... Budak lelaki bingkas selamatkan adik lepas siling rumah tiba-tiba runtuh

Tindakan pantasnya menyelamatkan adik perempuan undang pujian netizen.

KEBERANIAN seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun menyelamatkan adik perempuannya ketika tragedi siling rumah runtuh, mencuri perhatian netizen.

Ia susulan rakaman kejadian yang dimuat naik ibu mereka tular dan meraih lebih 16 juta tontonan.

Insiden sekitar pukul 7.05 malam, 7 Oktober lalu berlaku di sebuah rumah di Daerah Hanh Nha, Da Nang, Vietnam.

Ketika kejadian, adik perempuannya yang berusia lapan tahun sedang belajar di meja tulis sebelum siling bilik tiba-tiba runtuh disertai bunyi kuat.

Cemas dengan situasi berlaku membuatkan kanak-kanak itu menutup telinga kerana ketakutan.

Abangnya yang sedang berbaring sambil memegang telefon segera bangun dan bergegas ke arah adiknya. 

Dia kemudian bertindak mendukung adiknya keluar dari bilik berkenaan dan turut mencabut plug kipas yang masih terpasang.

Menurut ibu kepada dua beradik itu, ketika kejadian dia bersama suami dan anak bongsu berada di luar rumah. 

Mereka hanya mengetahui insiden tersebut selepas menerima panggilan daripada anak lelakinya.

"Saya sangat terkejut apabila tengok rakaman kamera pengawasan di telefon. Mujur anak-anak selamat walaupun masih terkejut. 

"Anak lelaki saya cepat-cepat ambilkan kasut takut saya terpijak benda tajam, malah bantu kami kemas rumah selepas itu," katanya kepada media tempatan.

Pada 10 Oktober, wanita itu memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tentang kejadian di media sosial sebagai peringatan kepada keluarga lain agar sentiasa memeriksa struktur rumah, khususnya bahagian siling yang mungkin rosak tanpa disedari.

Klip berkenaan kemudian menjadi tular dan dihujani pujian daripada netizen yang kagum dengan tindakan spontan dan keberanian kanak-kanak lelaki itu menyelamatkan adiknya. -Agensi

Artikel Lain

CEO GISB, 12 pemimpin dibebaskan