suria

Dua warga emas ‘berkungfu’ dalam bas gara-gara berebut tempat duduk

Tangkap layar aksi pergaduhan yang berlaku antara mereka.

TULAR rakaman video pergaduhan antara seorang wanita dan lelaki warga emas yang berebut tempat duduk khas di dalam sebuah bas.

Kejadian di bandar Keelung, Taiwan itu berlaku pada 13 Oktober lalu, sekitar pukul 6.40 petang.

Berdasarkan laporan, pertikaian bermula apabila lelaki berusia 76 tahun yang dikenali sebagai Yang meminta pertukaran tempat duduk dengan wanita bernama Wei, 57 tahun kerana mempunyai masalah pergerakan.

Namun, permintaan itu mengundang rasa kurang senang wanita terbabit sehingga mereka berdua saling berbalas perang mulut.

Ketegangan memuncak apabila Wei menanggalkan seliparnya dan memukul kepala Yang, menyebabkan lelaki itu menendangnya ke belakang untuk mempertahankan diri. 

Menerusi video berdurasi 54 saat, kedua-duanya bergelut sebelum Wei turun dari bas.

Bagaimanapun, wanita itu kembali semula ke dalam bas selepas menyedari dia tersilap mengambil selipar sebelum ditendang beberapa kali di muka ketika membongkok.

Situasi yang berlaku itu kemudiannya mendapat perhatian penumpang lain.

Meskipun tiada laporan polis dibuat, namun kedua-dua mereka dipanggil untuk siasatan lanjut berhubung insiden yang berlaku.

Ketika memeriksa identiti Wei, polis mendapati dia adalah suspek dikehendaki bagi kes curi dan gagal hadir di mahkamah. -Agensi

Artikel Lain