suria

Hos ‘live streaming’ cedera parah di muka, ‘parcel’ berisi bom buatan sendiri meletup depan rumah... Dendam jadi motif utama

Bungkusan berisi bom yang dibuka mengakibatkan kecederaan teruk pada wajah Zhou.

SEORANG wanita berusia 31 tahun cedera parah di muka selepas bungkusan yang diterimanya meletup ketika dipegang untuk diperiksa.

Dalam kejadian pada pagi Rabu, mangsa mengalami luka bakar tahap dua di muka selain bengkak mata dan melecur tahap tiga pada lengan.

Bercerita mengenai kejadian, Zhou yang bertugas sebagai live streamer di Bandar Yongzhou, Hunan di China berkata, bungkusan tersebut terletak di rak kasut di luar rumahnya.

"Rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki berjaket muncul di depan pintu kediamannya sebelum kejadian berlaku.

"Ia mungkin tindakan balas dendam yang berniat jahat," ujarnya.

Susulan letupan itu, Zhou dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pasukan polis kemudiannya mengesahkan keadaan yang dialaminya tidak mengancam nyawa.

Dalam pada itu, Biro Keselamatan Awam Lengshuitan memaklumkan seorang suspek lelaki berusia 27 tahun ditahan berhubung kejadian yang berlaku.

Hasil siasatan mendapati, suspek menghasilkan sendiri peranti mudah terbakar sebelum membungkusnya menyerupai bungkusan penghantaran.

Malah dia meletakkannya di depan rumah mangsa pada malam Selasa.

Polis turut mengesahkan motif kejadian berpunca daripada dendam peribadi terhadap mangsa dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Untuk rekod, Zhou mempunyai 78,000 pengikut di platform video pendek popular dan dikenali dengan kandungan tarian. -Agensi

Artikel Lain

CEO GISB, 12 pemimpin dibebaskan