suria

Bapa ‘meletup’ tak tahan tengok anak letih siapkan projek sekolah hingga tengah malam, selalu tidur lewat

Tangkap layar video anaknya menyiapkan projek sekolah.

SEORANG bapa meluahkan kekecewaan terhadap sistem pembelajaran sekolah selepas anak lelakinya terpaksa berjaga hingga lewat malam bagi menyiapkan tugasan yang disifatkannya 'mengarut'.

Kejadian dilaporkan berlaku di India.

Menerusi video tular, bapa dikenali sebagai Niteen S Dharmawat turut menunjukkan rakaman anaknya sedang menyiapkan projek seni kira-kira pukul 12 tengah malam.

"Sistem sekolah sangat teruk. Ini pukul 12 malam, budak kelas lapan (Tingkatan 1) masih buat projek mengarut selepas siapkan kerja rumah. 

"Kalau tak buat, dia tak boleh masuk kelas Pendidikan Jasmani kegemarannya," tulisnya.

Dharmawat yang merupakan seorang pelabur dan pengasas bersama Aurum Capital mengakui dia bimbang dengan situasi tersebut memandangkan hampir setiap hari anaknya tidur lewat.

Justeru sebagai bapa, dia berasa tidak berdaya menghadapi tekanan sistem pembelajaran yang disifatkannya 'teruk'.

Video berkenaan meraih lebih 370,000 tontonan dan ratusan komen daripada netizen yang kebanyakannya bersetuju dengan pandangannya.

Seorang pengguna berkata, projek sekolah yang terlalu banyak membazir masa, tenaga serta sumber, dan lebih baik digantikan dengan pembelajaran kemahiran hidup asas.

Ada juga yang berseloroh, mengatakan mereka turut pernah membantu anak menyiapkan projek pada tengah malam kerana anak hanya mengingatinya pada saat akhir. -Agensi

Artikel Lain

CEO GISB, 12 pemimpin dibebaskan