SEBUAH pesawat penumpang yang dikendalikan Air China terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Shanghai pada Sabtu.
Ia berikutan bateri litium dalam bagasi tangan seorang penumpang terbakar ketika penerbangan harian pesawat dari bandar Hangzhou di timur China menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.
"Bateri litium secara tiba-tiba terbakar di dalam bagasi penumpang yang disimpan di ruang simpanan atas pesawat CA139," kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan di platform media sosialnya.
Menurut kenyataan itu lagi, kru penerbangan segera mengendalikan situasi mengikut prosedur keselamatan dan tiada kecederaan dilaporkan.
Bagi memastikan keselamatan penumpang dan penerbangan, pesawat tersebut dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong untuk pendaratan tidak berjadual.
Rakaman video yang tular menunjukkan api menyala dari ruang simpanan atas kabin dengan kepulan asap hitam.
Beberapa penumpang dilihat cuba memadamkan kebakaran.
Dalam pada itu, data daripada laman web penjejakan penerbangan Flightradar24 menunjukkan pesawat itu berlepas dari Hangzhou pada pukul 9.47 pagi waktu tempatan sebelum berpatah balik di tengah laluan dan tiba di Shanghai sekitar 11 pagi. -Agensi


