SEKUMPULAN penduduk kampung bertindak nekad mengejar seekor buaya yang mengheret seorang lelaki warga emas ke tengah sungai.
Video penduduk mengejar buaya itu tular di media sosial [Tonton Video] selepas ia terlebih dahulu dikongsi di kumpulan WhatsApp.
Dalam video itu, ia memaparkan kumpulan penduduk itu membawa sebatang kayu dan kemudian memukul buaya yang berenang ke tengah sungai.
Kejadian dilaporkan berlaku di Sripurnomo, Daerah Tanggamus di Indonesia.
Video lain pula memaparkan buaya itu dirakam membawa tubuh manusia.
Ketua Polis Senaka, AKP Sutarto mengesahkan kejadian itu dengan memaklumkan ia berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari pada Isnin.
"Betul, itu video penduduk cuba menyelamatkan mangsa diheret buaya dan dibawa ke tengah sungai.
"Mangsa seorang warga emas bernama Wasim berusia 80 tahun yang merupakan penduduk RT 03, Pekon Sripurnomo," kata Sutarto.
Sebelum kejadian, mangsa kali terakhir dilihat membuang air besar di tebing sungai, namun kemudian tidak kelihatan.
Seorang saksi bernama Yusroni mengakui hanya melihat seluar mangsa di tebing sungai dan pada masa sama terdapat kocokan air dengan kemunculan seekor buaya.
Saksi kemudian menjerit meminta tolong kepada penduduk.
Ketika penduduk berkumpul, kelihatan buaya itu mengheret mangsa ke tengah sungai.
“Bahagian tengah sungai itu cetek, penduduk kemudian mengambil inisiatif turun ke dalam sungai dan membaling batu serta mengejar buaya itu supaya mangsa dapat melepaskan diri,” katanya.
Walaupun usaha penduduk itu berjaya, namun mangsa sudah meninggal dunia ketika dibawa ke tebing sungai.
Sutarto merayu penduduk agar tidak melakukan sebarang aktiviti di Sungai Way Semaka buat sementara waktu.
"Kami merayu penduduk supaya tidak melakukan aktiviti di sungai kerana ia merupakan habitat buaya," katanya. -Agensi


