suria

Hasrat nikmati ais kisar durian terbantut, wanita dakwa jumpa serpihan plastik kecil tuntut pampasan RM55,000

Serpihan plastik dilihat jelas di dalam ais kisar berperisa durian itu.

SEORANG wanita di Singapura mendakwa menemui serpihan plastik dalam pencuci mulut ais kisar berperisa durian yang dipesan di sebuah kedai di Clementi Mall.

Berkongsi cerita, ujar wanita ini, dia pada awalnya terus menelan objek asing yang digigit keras, kerana menyangka ia adalah ketulan ais.

Namun apabila kali kedua berlaku, dia meludah dan mendapati ia kelihatan seperti serpihan plastik.

Cuba mengamati dengan lebaih lanjut, dia tidak menyangka terdapat banyak serpihan plastik berkenaan di dalam ais kisarnya.

Bimbang situasi kesihatan terjadi, dia kemudiannya melaporkan insiden tersebut kepada kakitangan.

Selepas pemeriksaan, dipercayai terdapat tujuh hingga lapan serpihan seumpama itu dijumpai dalam satu hidangan.

Susulan itu, pihak pengurusan menawarkan bayaran balik atau menggantikannya dengan pencuci mulut baharu.

Namun wanita itu dan rakan-rakannya meminta pampasan sebanyak S$16,000 (sekitar RM55,000) setiap seorang.

Jumlah yang tinggi itu membuatkan pihak pengurusan kedai menolak tuntutan dan menyifatkannya sebagai tidak munasabah kerana tiada laporan perubatan dikemukakan. -Agensi

Artikel Lain