SEORANG wanita meluahkan rasa sedih dan terkilan apabila anak lelakinya sanggup menukarkan durian yang dibeli dengan dadah jenis methamphetamine.
Menerusi hantaran di laman Facebook, dia kemudiannya menggesa pasukan polis untuk menangkap anaknya yang juga mengalami masalah ketagihan bahan terlarang itu.
Kejadian dilaporkan berlaku di Isaan Sa Kaeo di Thailand.
"Saya bimbang anak kelaparan, jadi saya beli ini (durian) untuknya. Dia tidak memakannya tetapi menukarkannya dengan Yaba (methamphetamine) di rumah Sao.
"Polis, sila tangkap anak saya. Jika tidak, kamu perlu datang dan mengambil mayat saya sebagai gantinya," tulisnya menerusi hantaran pada 17 Jun lalu.
Dia turut menyiarkan gambar dua biji buah durian dan bungkusan paket dadah yang dimaksudkan.
Difahamkan Sao Praditsri merupakan pengedar dadah di lokasi berkenaan.
Susulan tularnya hantaran yang dibuat itu, pegawai dari Pejabat Daerah Khao Chakan menahan Sao Praditsri, 30, pada Ahad.
Penahanan itu berlaku ketika Sao dan rakan-rakannya dalam perjalanan dengan kereta ke tempat kerja mereka di sebuah jeti di wilayah Chon Buri.
Hasil pemeriksaan menemukan 90 pil methamphetamine yang disembunyikan dalam botol ubat, pek mi segera dan pembungkus coklat. -Agensi


