SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun mengalami muntah aneh selama sebulan, sehingga menimbulkan kerisauan kepada keluarga mengenai penyakit yang dialaminya.
Keluarga kanak-kanak dari Yangzhou, China itu mendakwa, muntah tersebut disusuli objek aneh seperti cacing hidup halus.
Lebih membingungkan, tiada ahli keluarga lain yang mengalami simptom serupa.
Setelah menjalani pelbagai pemeriksaan perubatan, punca sebenar kejadian tersebut akhirnya dikenal pasti, yang mana ia bukan disebabkan penyakit luar biasa, tetapi berpunca daripada masalah kebersihan rumah.
Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak tersebut telah dibawa berjumpa ramai doktor, namun tiada siapa yang dapat menentukan punca sebenar muntah yang dialaminya.
Seorang doktor dari Hospital Kanak-Kanak Universiti Soochow, Jiangsu, Dr Zhang Bingbing mencadangkan agar sampel cacing itu dihantar ke Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) tempatan untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil analisis pihak CDC mengejutkan ramai apabila mendapati cacing tersebut adalah larva lalat longkang, juga dikenali sebagai drain fly atau lalat rama-rama.
Ketua Jabatan CDC Yangzhou, Xu Yuhui, menjelaskan bahawa larva tersebut dipercayai telah mencemari aliran air bawah tanah.
"Apabila kanak-kanak itu memberus gigi atau menggunakan tandas, kemungkinan larva tersebut memasuki tubuhnya melalui percikan air," katanya.
Xu kemudian menasihatkan agar kawasan seperti dapur dan tandas sentiasa dijaga kebersihannya serta kekal kering, selain turut mencadangkan kaedah menyingkirkan larva ini menggunakan air mendidih yang dicampur dengan garam dan soda penaik. -Agensi


