SEORANG wanita yang mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan kerana tidak sedarkan diri, maut selepas diserang secara seksual oleh pesakit lain.
Mangsa yang berusia dalam lingkungan 20-an dimasukkan ke Hospital Jag Pravesh Chandra di India, pada minggu lalu selepas dia didapati tidak sedarkan diri oleh jirannya.
Menurut DCP Timur Laut, Ashish Mishra, mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan pada Rabu.
"Pasukan perubatan menyatakan dia tidak sedarkan diri dan mabuk semasa dimasukkan ke hospital.
"Oleh itu, tindakan lanjut berhubung kematiannya bergantung kepada keputusan bedah siasat," katanya.
Isnin lalu, kakitangan hospital memaklumkan bahawa dia telah diserang oleh seorang pesakit lelaki di wad yang sama.
Susulan itu, dia dirujuk ke Hospital GTB, namun disahkan meninggal dunia pada Rabu.
"Kami sedang menunggu laporan bedah siasat untuk memastikan punca sebenar kematiannya.
"Kami akan mengambil tindakan selanjutnya selepas itu," kata polis.
Tertuduh, yang dikenali sebagai Mohammed Faiz, ditahan tidak lama kemudian bagi membantu siasatan. -Agensi


