suria

Kecoh budak lelaki dikurung dalam sangkar, dibiar berbogel... Bapa tampil jawab kecaman netizen

Imej tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dikurung dalam sangkar sambil berbogel. -Foto Douyin

SEORANG bapa dikecam hebat oleh warga maya kerana bertindak mengurung anak lelakinya yang masih kecil dan berbogel di dalam sangkar besi. 

Difahamkan, insiden berkenaan dirakam di tepi jalan di wilayah Hainan, selatan China, pada 16 Jun lalu.

Video memaparkan beberapa kanak-kanak dalam keadaan berbogel menaiki basikal roda tiga merah yang diletakkan di tepi jalan, dengan salah seorang daripada mereka berada di dalam sangkar besi.

Bimbang tentang kemungkinan kes penderaan atau pemerdagangan kanak-kanak, orang awam yang lalu lalang memaklumkan kepada polis.

Hasil siasatan polis mendapati seorang lelaki yang dikenali sebagai Diao, iaitu bapa kepada kanak-kanak berkenaan meninggalkan anak-anaknya di tepi jalan sementara dia mengisi perut dan menguruskan isterinya yang berstatus orang kelainan upaya.   

Lelaki tersebut memberitahu polis bahawa anaknya tidak memakai pakaian kerana panas dan tindakannya meninggalkan salah seorang daripada mereka di dalam sangkar besi adalah untuk mengelakkannya daripada terjatuh dan merayau. 

Polis berkata keluarga itu telah dipindahkan buat sementara waktu di pusat pemindahan dan mereka juga menjalani pemeriksaan kesihatan.

Menurut Ningbo Evening News, kanak-kanak itu berada dalam keadaan fizikal yang baik dan emosi pasangan berkenaan juga stabil.

Insiden itu menjadi tular di media sosial di China, dengan perkongsian mengenainya meraih lebih 60 juta tontonan. -Agensi

 

Artikel Lain