SEORANG penternak haiwan eksotik terkejut apabila mendapati 20 ekor kura-kura peliharaannya mati dipercayai akibat diserang monyet liar.
Pemilik kura-kura baka Red Eared Slider, Galuh Wajid As'adi, 26, berkata dia pada mulanya hairan apabila melihat jumlah anak kura-kura yang baru menetas berkurangan secara tiba-tiba.
"Minggu lepas, jumlah kura-kura yang baru menetas tiba-tiba berkurang. Banyak yang jatuh ke atas lantai dan mati," katanya.
Kejadian dilaporkan berlaku di Jember, Jawa Timur di Indonesia.
Selepas membuat pemerhatian dalam tempoh beberapa hari, kehadiran monyet liar yang berkeliaran di atas bumbung rumahnya akhirnya menjawab segala tanda tanya.
Lebih mengejutkan, haiwan yang sering dikaitkan dengan buah pisang sebagai makanan utama itu sebenarnya tergolong dalam kategori omnivor, yang turut makan daging haiwan kecil seperti anak kura-kura.
Cubaan awal untuk memerangkap monyet tersebut dengan umpan pisang tidak berjaya, namun hasil positif diperoleh melalui percubaan kedua.
Menurut jurucakap pasukan bomba tempatan, seekor monyet berjaya ditangkap dan dikurung oleh penduduk setempat.
Namun begitu, tiga ekor lagi masih bebas berkeliaran.
“Setakat ini tiada serangan dilaporkan melibatkan manusia, tetapi penduduk dinasihatkan agar berjaga-jaga,” ujarnya.
Insiden ini mencetuskan kebimbangan penduduk sekitar, terutama dalam kalangan penternak haiwan kecil dan pemilik rumah yang berada berhampiran kawasan hutan.-Agensi


