suria

10 jam rendam dalam ais, akhirnya dua kaki kena potong! 'Misi' tuntut insurans gagal, merana seumur hidup

Zhang (kanan) dipenjara dua tahun kerana menipu syarikat insurans. -Foto Yahoo

SEORANG pemuda sanggup merendam kakinya dalam ais kering selama 10 jam sehingga kedua-dua kakinya terpaksa dipotong gara-gara ingin menipu syarikat insurans.

Kejadian antara 2005 hingga Januari 2023 itu berlaku ketika lelaki itu menjadi pelajar universiti.

Pemuda yang dikenali sebagai Zhang itu membeli pelbagai polisi daripada lima syarikat insurans berbeza, meliputi lapan jenis perlindungan seperti insurans kesihatan, hayat, kemalangan, penjagaan jangka panjang dan insurans perjalanan.

Kejadian berlaku di Taipei, Taiwan.

Pada 2023 dalam usaha menuntut wang pampasan insurans, Zhang telah berpakat dengan bekas rakan sekolah menengahnya, dikenali sebagai Liao.

Pada 26 Januari 2023, kedua-dua mereka membeli ais kering dan kemudian Zhang merendam kakinya yang tidak beralas ke dalam baldi berisi ais tersebut.

Rakannya, Liao mengikat Zhang pada kerusi menggunakan tali plastik bagi mengelakkan dia keluar dari baldi jika tidak tahan sakit.

Zhang menahan derita itu dari pukul 2 pagi hingga tengah hari, atau selama tempoh 10 jam. 

Liao pula merakam proses kejam itu dalam bentuk gambar dan video sebagai bukti untuk sokongan tuntutan.

Dua hari kemudian, Zhang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Memorial Mackay dan didapati mengalami radang dingin tahap keempat, nekrosis tulang, sepsis, dan kemusnahan tisu otot.

Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong dari bahagian bawah betis.

Mereka mendakwa Zhang menunggang motosikal lewat malam dan tiba-tiba berasa sejuk melampau pada kaki sehingga mengakibatkan dia mengalami radang dingin.

Tuntutan dibuat ke atas lapan polisi daripada lima syarikat insurans, melibatkan jumlah NT$41.26 juta (kira-kira RM6.9 juta). 

Salah sebuah syarikat telah membayar NT$236,427 (kira-kira RM39,000), namun empat lagi syarikat mengesan penipuan dan menolak tuntutan tersebut serta melaporkan hal itu kepada pihak berkuasa.

Pada 20 Jun 2025, Mahkamah Tinggi Taiwan menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas Zhang, tetapi dengan penangguhan hukuman selama dua tahun. 

Liao yang dianggap sebagai dalang, dijatuhi hukuman penjara enam tahun.-Agensi

Artikel Lain