suria

Majikan zalim paksa bibik makan tahi anjing, minum air parit... Ugut pembantu lain pijak mangsa

Suspek (kiri) tergamak menyuruh mangsa makan najis anjing serta minum air parit. -Foto detikcom

SEORANG pembantu rumah menjadi mangsa kekejaman majikan apabila diperlakukan seperti binatang hanya kerana tidak berpuas hati dengan mutu kerjanya.

Mangsa dilaporkan didera secara fizikal dan mental disebabkan kesalahan kecil seperti mop kurang bersih, lambat bangun dan tersilap memotong daging. 

Kesilapan tersebut dijadikan alasan oleh majikan untuk memotong gajinya sebagai denda.

Lebih kejam, wanita malang itu turut dihina dengan gelaran haiwan dan pelacur, selain dipaksa menjamah najis anjing serta minum air parit. 

Kejadian dipercayai berlaku di Batam, Kepulauan Riau.

Difahamkan, penderaan tersebut sudah berlaku hampir setahun, namun situasi menjadi semakin buruk sejak dua bulan lalu selepas mangsa dikatakan terlupa mengunci kandang anjing milik majikannya.

Setelah sekian menahan derita, mangsa akhirnya memberanikan diri mendedahkan kesengsaraan yang dialaminya kepada keluarga.

Dia turut menghantar gambar dan video sebagai bukti kekejaman majikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembantu Rumah Maut Dipercayai Didera Majikan

"Dia dipaksa membayar lebihan bil elektrik sekiranya berlaku kenaikan, termasuk bil pemeriksaan kesihatan anjing peliharaan majikan. 

"Malah, beras yang habis juga dijadikan alasan untuk menuduhnya mencuri makanan," kata waris mangsa, Romo Pascal.

Lebih mengejutkan, majikan turut mengugut pembantu rumah lain untuk sama-sama menyeksa mangsa, termasuk menyeretnya ke bilik air dan memijak tubuhnya.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Barelang, AKP Debby Tri Andrestian, siasatan mendapati suspek tidak pernah membayar gaji mangsa seperti sepatutnya berjumlah Rp1.8 juta (kira-kira RM468) sepanjang tempoh perkhidmatan.

Hasil pemeriksaan perubatan di Hospital Elisabeth Batam mendapati tubuh mangsa dipenuhi kesan lebam selain mengalami kekurangan darah dan nutrisi akibat penderaan berpanjangan.

Kes kini masih dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengambil tindakan lanjut terhadap majikan berkenaan.-Agensi

Artikel Lain