suria

Ibu buka akaun media sosial 'jual' anak... Mengaku mahu kukuh kewangan keluarga lepas kantoi

Noina menceritakan kejadian sebenar yang berlaku kepadanya.

SEORANG wanita berdepan detik cemas apabila menerima ugutan bunuh selepas identitinya dicuri dan digunakan individu tidak bertanggungjawab.

Dakwa wanita ini, perbuatan tersebut dilakukan oleh ibunya sendiri demi menjalin hubungan romantik dengan beberapa lelaki.

Menerusi posting video di TikTok pada Jumaat lalu, dia yang dikenali sebagai Noina tampil memberi peringatan kepada netizen yang mungkin terjebak dengan kegiatan ibunya untuk memutuskan hubungan.

Berkongsi pengalaman pahit yang dialami, ujar wanita ini, dia terkejut apabila mengetahui ibunya mencipta profil media sosial menggunakan gambar dan videonya.

Ibunya secara terang-terangan menyatakan tindakan itu demi mengukuhkan kewangan keluarga selain membantunya berunding dengan 'pelanggan'.

Menurut wanita ini, dia mula berasa curiga apabila diminta bertemu dengan seorang lelaki dan menerima hadiah serta wang atas nama Noina selepas mendengar perbualan romantik ibunya.

Lebih membimbangkan apabila terdapat seorang lelaki yang sering datang dan mengganggunya di rumah sehingga dia terpaksa berpindah.

Malah dia mula mendapat ugutan bunuh selepas seorang lelaki dikenali sebagai Jack mengetahui situasi sebenar.

Ancaman yang diterima membuatkan dia merayu ibunya untuk berhenti melakukan penyamaran, namun wanita itu bertindak agresif dengan mencederakan diri sendiri.

Susulan pendedahan yang dibuat, beberapa pengguna media sosial cuba menjejaki akaun media sosial sebenar ibu Noina bagi menuntut penjelasan.

Sebagai tindak balas, ibunya menafikan tuduhan dan mendakwa dia mempunyai bukti, walaupun dia tidak pernah berkongsi sisi ceritanya.

Di bawah Seksyen 1562 Undang-undang Sivil dan Komersial Thailand, warganegara Thai tidak boleh menyaman ibu bapa atau saudara kandung mereka.

Akibatnya, Noina tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap ibunya. -Agensi

Artikel Lain