PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Iran dan Israel bersetuju melaksanakan gencatan senjata secara 'lengkap dan menyeluruh'.
Pengumuman pada Isnin dibuat sejurus serangan peluru berpandu Iran di Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar, yang menempatkan tentera AS.
“Dengan anggapan bahawa segala-galanya akan berjalan sebagaimana sepatutnya, yang mana ia akan berlaku.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kedua-dua negara, Israel dan Iran, kerana mempunyai stamina, keberanian, dan perisikan sehingga akhirnya, apa yang dipanggil, ‘Perang 12 Hari,’” kata Trump dalam catatan media sosial.
Trump juga menyifatkan, perang yang berlaku boleh berlangsung selama bertahun-tahun dan memusnahkan seluruh Timur Tengah.
"Ini adalah perang yang boleh berlaku selama bertahun-tahun, dan memusnahkan seluruh Timur Tengah, tetapi ia tidak, dan tidak akan pernah berlaku!
"Tuhan memberkati Israel, Tuhan memberkati Iran, Tuhan memberkati Timur Tengah, Tuhan memberkati Amerika Syarikat, dan Tuhan memberkati dunia!" tambahnya.
Kenyataan Trump turut mencadangkan bahawa Iran akan berhenti menembak Israel beberapa jam sebelum tentera Israel menamatkan operasinya.
Meskipun diumumkan secara langsung, namun kedua-dua negara tidak mengesahkan perjanjian berkenaan.
Melaporkan dari Tehran, Tohid Asadi dari Al Jazeera menyatakan bahawa belum ada pengesahan rasmi mengenai perjanjian itu walaupun lebih dari sejam selepas pengumuman Trump.
"Hanya beberapa minit yang lalu, kami mendengar bunyi letupan yang berkaitan dengan pemintasan dan pengaktifan sistem pertahanan udara di sini di seluruh ibu negara," kata Asadi.
Untuk rekod, Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran pada awal pagi 13 Jun, tanpa provokasi langsung.
Pegawai Israel mendakwa bahawa serangan yang mengorbankan ratusan orang, adalah 'preemptive' dan untuk program nuklear serta peluru berpandu negara itu.
Susulan itu, Iran bertindak balas dengan ratusan peluru berpandu yang menyebabkan kemusnahan meluas di dalam Israel.
Pada Sabtu, Trump membenarkan serangan AS ke atas tiga kemudahan nuklear Iran.
Manakala pada Isnin, Iran melancarkan serangan peluru berpandu di Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar sebagai tindak balas kepada serangan AS. -Agensi