suria

Ladang ternakan terbakar, 60,000 ayam rentung sekelip mata! Penternak kerugian lebih RM600,000

Pusat ternakan ayam hangus dijilat api dalam sekelip mata. -Foto detikcom

KIRA-KIRA 60,000 ekor ayam rentung selepas sebuah ladang ternakan ayam musnah dalam kebakaran, dipercayai akibat litar pintas. 

Dilaporkan, insiden di ladang ternakan milik Bagus Farm yang terletak Ciamis, Jawa Barat itu disedari oleh seorang pegawai bertugas, Irsad, sekitar pukul 12.30 pagi Isnin.

"Api muncul dari tingkat atas kandang kedua sebelum akhirnya marak," ujarnya.

Seramai 15 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Api yang begitu marak mengambil masa kira-kira enam jam untuk dipadamkan. -Foto TribunNews.com

Bagaimanapun, bahan mudah terbakar seperti sekam padi, buluh, kayu, dan sebagainya menyukarkan lagi kerja-kerja pemadaman ekoran api yang semakin marak.

"Litar pintas dikenal pasti sebagai punca kebakaran," ujar Ketua Jabatan Pemadaman Kebakaran Bomba Ciamis, Fery Rochwandi.

Sementara itu, jumlah kerugian pula dianggarkan mencecah 2.5 bilion Rupiah (RM649,887.50). -Agensi

Artikel Lain