suria

Majlis kahwin bertukar tragedi berdarah... Pengantin perempuan maut ditembak lelaki bertopeng ketika tinggalkan dewan

Lokasi kejadian yang dikawal ketat anggota polis. -Foto BBC

SEORANG pengantin perempuan maut ditembak pada hari perkahwinannya dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 4.30 pagi, pada Ahad. 

Menurut pegawai tempatan, kejadian belaku ketika pasangan pengantin itu sedang meninggalkan majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di dewan yang terletak di kampung Goult, Avignon, tenggara Perancis.

Seorang lelaki bertopeng melepaskan tembakan ke arah pasangan tersebut, mengorbankan pengantin perempuan di tempat kejadian. 

Pengantin lelaki yang berusia 25 tahun dan seorang kanak-kanak berusia 13 tahun turut cedera parah, sementara seorang wanita lain dilaporkan cedera ringan.

Ketika kejadian, seramai 28 tetamu berada di dalam dewan majlis perkahwinan tersebut.

Dalam kejadian berbalas tembakan itu, salah seorang penyerang disyaki turut terbunuh. 

Penyerang kedua dilaporkan berjaya melarikan diri selepas tiba di lokasi dengan menaiki kereta. 

Setakat ini, bilangan sebenar suspek masih belum dikenal pasti.

Pihak berkuasa melancarkan operasi besar-besaran memburu suspek, melibatkan puluhan anggota polis termasuk menggunakan sebuah helikopter.

Media tempatan melaporkan bahawa insiden tragis itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan perebutan kuasa atau aktiviti pengedaran dadah.

Siasatan sedang dijalankan di bawah kes pembunuhan dan cubaan membunuh. -Agensi

 

Artikel Lain