SEORANG lelaki ditahan selepas memukul kepala ibu kandungnya menggunakan kasut beberapa kali.
Suspek berusia 23 tahun itu juga didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap mangsa.
Kejadian dilaporkan berlaku di rumah mereka di Bekasi Timur, Indonesia.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Kota Bekasi, Komisioner Binsar Hatorangan Sianturi, tindakan agresif suspek berpunca daripada keengganan mangsa meminta pinjam motosikal jiran mereka.
"Suspek dikatakan meminta mangsa meminjam motosikal jiran untuk keluar, tetapi mangsa enggan menurut permintaan tersebut.
"Dia pada awalnya mencampakkan kerusi kayu ke arah mangsa namun tidak terkena.
"Susulan itu, dia mengambil kasut dan terus memukul kepala mangsa beberapa kali sehingga terjatuh," ujarnya.
Tambah Binsar, suspek kemudiannya meluru ke dapur dan mengambil pisau seterusnya mengugut untuk mencederakan mangsa.
Tindakannya itu bagaimanapun terhalang selepas jiran mangsa bersama dua pengawal keselamatan berhampiran datang membantu.
Katanya lagi, kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu turut dirakam kamera pengawasan. -Agensi