suria

Lelaki ditumbuk, dibelasah dengan tali pinggang sampai mati kerana berebut tempat duduk dalam tren

Sekumpulan lelaki membelasah seorang penumpang kereta api hingga mati.

SEORANG lelaki dipukul hingga mati oleh sekumpulan 15 hingga 20 lelaki dalam sebuah kereta api yang sedang bergerak.

Difahamkan mangsa yang berusia 39 tahun dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya sebelum diserang kumpulan lelaki berkenaan.

Kejadian berlaku semasa perjalanan kereta api penumpang Saharanpur-Delhi berhampiran stesen kereta api Fakharpur di India pada Jumaat lalu.

Menurut polis, serangan maut terhadap lelaki yang dikenali sebagai Deepak Yadav itu bermula selepas berlaku pertengkaran mengenai tempat duduk.

Mangsa bertengkar dengan beberapa orang suspek dan ia berlanjutan hampir 10 kilometer (km), dari Fakharpur ke stesen Khekra.

Saksi menyatakan bahawa penyerang menggunakan tali pinggang, tumbukan, dan tendangan untuk menyerang mangsa, manakala beberapa penumpang lain cuba campur tangan.

Penyerang dilaporkan melarikan diri sebelum kereta api berhenti.

Pegawai polis kereta api kerajaan (GRP) mengesahkan bahawa Deepak telah diturunkan dari kereta api dan dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.

Rakan mangsa dalam kereta api segera memaklumkan polis dan ahli keluarga sejurus selepas serangan bermula.

"Laporan polis telah didaftarkan di bawah Seksyen 191(2) Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS) atas kesalahan rusuhan dan Seksyen 103 atas tuduhan pembunuhan. 

"Lima remaja telah ditahan dan sedang disoal siasat. Laporan bedah siasat akan menentukan sama ada senjata tajam digunakan dalam serangan tersebut.

"Usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti dan menangkap suspek lain," kata polis.-Agensi

Artikel Lain