suria

“Trump mesti tanggung akibat!” - Pemimpin kanan Houthi beri amaran bakal serang kapal perang AS jika terus ceroboh Iran

Imej satelit menunjukkan Fordow, salah satu daripada tiga tapak nuklear Iran. -Foto Reuters

SEORANG pemimpin kanan Houthi yang disokong Iran, menyatakan bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, harus dipertanggungjawabkan atas serangan udara oleh AS terhadap kemudahan nuklear Iran.

Kenyataan itu dibuat oleh Ahli Biro Politik Houthi, Hizam al-Assad, menerusi catatan di platform media sosial X, awal pagi Ahad.

"Trump mesti menanggung akibatnya," tulis Hizam.

Dalam masa sama, Angkatan Bersenjata Yaman yang dikawal Houthi memberi amaran bahawa mereka bersedia menyasarkan kapal perang AS di Laut Merah jika negara tersebut melancarkan pencerobohan untuk menyokong Israel.

Terdahulu, Trump mengumumkan AS melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz, dan Esfahan.

"Kami menyelesaikan serangan yang sangat berjaya ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz, dan Esfahan.

"Semua pesawat kini telah keluar dari ruang udara Iran," tulis Trump dalam satu catatan di Truth Social, pada Sabtu. -Agensi

 

Artikel Lain