SEORANG lelaki warga Korea Selatan ditahan selepas disyaki mengurung dan menyerang bekas teman wanitanya di sebuah salon kecantikan kerana cemburu hubungannya bersama lelaki lain.
Dalam kejadian pada Isnin lalu itu, polis menerima laporan bahawa seorang lelaki warga asing menahan seorang wanita dan mengugutnya menggunakan pistol.
Kejadian berlaku di sebuah salon di Jalan Pattaya Klang, daerah Bang Lamung, Chon Buri, Thailand.
Menurut Ketua Polis Pattaya, Kolonel Anek Sathongyu, suspek melarikan diri dengan terjun dari balkoni tingkat dua sebaik menyedari kehadiran polis.
Pihaknya berjaya menyelamatkan wanita berusia 28 tahun itu yang juga pemilik salon, dalam keadaan lemah dan mengalami kesan lebam.
Mangsa memberitahu polis bahawa suspek, bekas teman lelakinya yang berusia 27 tahun, telah menahannya hampir 24 jam, merampas telefon bimbit dan mengugut menggunakan pistol.
Wanita itu berjaya memujuk suspek untuk memulangkan telefonnya, lalu menghantar mesej kepada seorang rakan untuk meminta bantuan.
Suspek, dikenali sebagai Dongwug Kim, ditahan kira-kira pukul 11 malam, 500 meter dari lokasi kejadian.
Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer bersama 15 butir peluru yang disimpan di biliknya tanpa sebarang permit.
Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada perasaan cemburu kerana mangsa kini menjalin hubungan dengan lelaki lain.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis turut menjejaki pemilik berdaftar senjata api tersebut yang juga akan dikenakan tindakan.-Agensi


