KETEGANGAN antara Israel dan Iran terus memuncak apabila kedua-dua negara melancarkan serangan baharu awal pagi Sabtu, hanya beberapa jam selepas Iran menyatakan tidak akan berunding mengenai program nuklearnya selagi masih berada di bawah ancaman.
Sekitar pukul 2.30 pagi waktu tempatan, tentera Israel mengeluarkan amaran mengenai serangan peluru berpandu dari Iran, menyebabkan siren serangan udara dibunyikan di beberapa kawasan termasuk Tel Aviv dan Tebing Barat.
Penduduk menyaksikan pemintasan di udara dan letupan bergema di seluruh kawasan ketika sistem pertahanan udara Israel bertindak balas.
Seorang pegawai tentera Israel memaklumkan bahawa Iran telah melancarkan lima peluru berpandu balistik, namun tiada kesan hentaman atau kecederaan dilaporkan setakat ini.
Serentak dengan itu, Israel melancarkan satu lagi gelombang serangan udara menyasarkan lokasi penyimpanan dan pelancaran peluru berpandu di Iran.
Menurut agensi berita Fars, fasiliti nuklear Isfahan antara yang terbesar di Iran telah disasarkan tetapi tiada kebocoran bahan radioaktif berlaku.
Media Iran turut melaporkan bahawa Israel telah menyerang sebuah bangunan di bandar suci Qom, menyebabkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun terbunuh dan dua orang cedera.
Konflik ini bermula minggu lalu apabila Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas Iran dalam usaha menghalang Teheran daripada memperoleh senjata nuklear.
Iran bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron, mencetuskan kitaran serangan balas antara kedua-dua negara.
Setakat ini, media Iran melaporkan sekurang-kurangnya 639 orang terbunuh dan 1,326 cedera akibat serangan Israel, manakala peluru berpandu Iran telah meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa dan mencederakan ratusan individu di Israel.-Agensi