PENGASAS Telegram, Pavel Durov, mengejutkan ramai apabila mengumumkan bahawa lebih 100 orang anak yang dipercayai mempunyai hubungan biologinya akan menerima bahagian daripada hartanya yang dianggarkan bernilai hampir AS$14 bilion (kira-kira RM65 bilion).
Durov yang berusia 40 tahun mendedahkan dia bukan sahaja mempunyai enam anak secara rasmi dengan tiga wanita berbeza, tetapi turut menjadi penderma sperma selama lebih 15 tahun.
Pihak klinik kesuburan memaklumkan bahawa Durovu berkemungkinan telah menjadi bapa kepada lebih 100 anak di 12 buah negara.
"Saya baru sahaja menulis wasiat, saya tidak membezakan antara anak-anak saya sama ada yang lahir secara semula jadi atau melalui derma sperma.
"Mereka semua anak saya dan akan menerima hak yang sama," katanya.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 106 kanak-kanak bakal mewarisi sekitar AS$132 juta (kira-kira RM614 juta) setiap seorang, walaupun ramai mungkin tidak sedar bahawa mereka mempunyai bapa bilionair.
Namun, Durov menetapkan syarat bahawa tiada sesiapa akan mendapat akses kepada harta tersebut sebelum tempoh 30 tahun bermula dari tarikh wasiat ditulis.
"Saya mahu anak-anak saya hidup seperti orang biasa. Mereka perlu membina kehidupan mereka sendiri, belajar berdikari, mencipta sesuatu tanpa bergantung pada wang,” katanya.
Menurut CEO klinik kesuburan Give Legacy, Khaled Kteily, sama ada anak-anak ini menyedari tentang warisan tersebut bergantung kepada sama ada Durov didaftarkan sebagai penderma dikenali atau penderma tanpa nama.
"Pengesahan identiti boleh dilakukan melalui ujian DNA. Jika seseorang mengesyaki Pavel ialah bapa kandung mereka, mereka boleh menjalani ujian paterniti," jelas Kteily.-Agensi