SEBUAH Pesawat Saudi Arabia yang membawa 387 jemaah haji terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Kualanamu, Kabupaten Deli Serdang, Indonesia, selepas menerima ancaman bom pada Sabtu.
Pesawat bernombor SVA5688 itu dilaporkan dalam perjalanan dari Muscat di Oman ke Surabaya.
Walau bagaimanapun ujar Ketua Pejabat Operasi SAR Medan, Hery Marantika, pihaknya masih tidak dapat mengesahkan sama ada ancaman diterima dari luar atau dalam pesawat.
“Semua penumpang adalah jemaah haji.
“Pasukan kita akan beri maklumat tambahan nanti. Buat masa ini, kita fokus kepada usaha mengendalikan orang ramai,” katanya.
Pada masa ini, pasukan pemusnah bom sedang berusaha menangani isu ancaman yang timbul.
Malah difahamkan, ia merupakan ancaman bom kedua melibatkan pesawat Saudi Arabia.
Kejadian pertama dilaporkan pada 17 Jun lalu menerusi pesawat SV-5726 yang dalam penerbangan dari Jeddah ke Jakarta.
Ancaman yang diterima menyebabkan juruterbang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Kualanamu. -Agensi